PUSWATAN
Latar Belakang
Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) merupakan sebuah institut latihan dalam Rangkaian Pemerintahan dan Pentadbiran Tentera Darat. Pusat latihan ini ditubuhkan untuk melatih pegawai dan LLP anggota Sukarela. Peranan PUSWATAN adalah sejajar dengan keperluan latihan di Pusat Latihan TD yang lain. Kursus-kursus yang dianjurkan di pusat latihan ini merangkumi semua kursus-kursus kerjaya anggota sukarela yang dibahagikan kepada kursus asas untuk pegawai dan LLP. Di antara kursus-kursus yang dianjurkan adalah seperti kursus taktik, kursus tugas staf, kursus senjata, kursus asas pegawai muda dan kursus kawad.
SEJARAH
Sejarah penubuhan Pusat Latihan Askar Wataniah ini bermula pada tahun 1952 dengan tertubuhnya pasukan Home Guard. Penubuhan pasukan Home Guard adalah bertujuan untuk membantu pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman komunis. Apabila wujudnya pasukan Home Guard timbul pula satu keperluan latihan bagi melatih belia dan beliawanis pada ketika itu.
HOME GUARD
Pada tahun 1954, Home Guard Training Centre telah ditubuhkan bagi melatih anggota-anggota yang menyertai pasukan Home Guard bertempat di Kampung SIMEE, IPOH. Pada 31 Dis 1959 setelah negara mencapai kemerdekaan, pasukan Home Guard telah dibubarkan dan pada keesokan harinya, iaitu pada 1 Jan 1960 Rejimen Askar Wataniah telah ditubuhkan untuk menggantikan pasukan Home Guard. Tiga Batalion Askar Wataniah telah diwujudkan iaitu Batalion Pertama di Kuala Kangsar, Batalion Kedua di Ipoh dan Batalion Ketiga di Teluk Intan.